
225,000 KANAK-KANAK IKUTI PRA TAHFIZ KEMAS, LEBIH 9,000 KELAS DI SELURUH NEGARA
PANTAI KUNDOR 11 November – Seramai 225,000 kanak-kanak di seluruh negara kini mengikuti program Pra Tahfiz anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), berbanding hanya 100 kelas ketika inisiatif itu mula diperkenalkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan jumlah penyertaan itu mencerminkan sambutan memberangsangkan terhadap program berkenaan yang kini berkembang ke seluruh negara.
Menurutnya, dalam tempoh setahun selepas diperkenalkan, pelaksanaan program Pra Tahfiz berkembang kepada lebih 9,000 kelas, sekali gus memperlihatkan perkembangan ketara inisiatif pendidikan al-Quran di tabika KEMAS.
Beliau berkata, program itu akan terus diperkasakan mulai tahun hadapan apabila kanak-kanak bukan sahaja memberi tumpuan kepada hafazan surah-surah lazim dalam Juzuk 30, malah turut didedahkan dengan beberapa surah pilihan.
“Mulai tahun hadapan, saya telah mengarahkan agar anak-anak ini selain daripada surah lazim, Juzuk 30, tetapi mereka juga harus menghafal surah-surah seperti Al-Waqiah, Ar-Rahman, Yasin, Al-Mulk dan As-Sajdah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kakitangan KEMAS Bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah serta Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Ahmad Zahid berkata, usaha memperluaskan hafazan itu turut melibatkan tenaga pengajar apabila guru-guru perlu menguasai surah berkenaan terlebih dahulu sebelum membimbing kanak-kanak.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada kanak-kanak untuk mempelajari dan menghafaz al-Quran, malah dapat meningkatkan penguasaan ilmu agama dalam kalangan guru KEMAS.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

