RISDA PERKUKUH PERANAN PEMBELI UTAMA, HARGA GETAH CECAH RM5.88 SEKILOGRAM

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

TABOH NANING 11 November – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan memperkukuh peranannya sebagai pembeli utama (anchor buyer) bagi memastikan lebih 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara mendapat pulangan lebih baik menerusi harga jualan yang lebih adil.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi anak syarikat RISDA, RISDA Plantation Sdn. Bhd. bagi menyediakan pilihan pemasaran lebih luas kepada pengusaha, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha itu mula menunjukkan perkembangan positif apabila harga belian getah menerusi inisiatif berkenaan mencecah RM5.88 sekilogram di Johor, manakala di Melaka direkodkan pada RM5.07 sekilogram.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sebelum ini turut menaikkan harga minimum getah daripada RM3 kepada RM3.30 sekilogram, namun RISDA mengambil pendekatan lebih proaktif dengan menyasarkan harga belian sekurang-kurangnya RM5.01 sekilogram.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan di Dewan Rakyat telah menaikkan harga minimum getah daripada RM3 kepada RM3.30. Tetapi RISDA mengambil inisiatif yang lebih proaktif, di mana mereka mengusahakan harga getah bermaruah sekurang-kurangnya RM5.01 sekilogram.

“Setakat 5 November lalu, belian melalui program ini mencapai 16,667 tan metrik di seluruh negara. Ini perkembangan yang baik, namun saya mahu penyertaannya diperluas supaya manfaat sampai kepada lebih ramai pengusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 bertemakan ‘Mensejahtera Komuniti, Memperkasa Komoditi’ di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Zainal Azni Zulkifli serta Pengerusi RISDA Holdings Sdn. Bhd., Datuk Suhaimi Nasir.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia perlu memanfaatkan pengeluaran getah tempatan dan mengurangkan keperluan mengimport lateks dari luar negara, sedangkan negara mempunyai kawasan tanaman getah yang luas.

Sehubungan itu, katanya, RISDA telah diarahkan memperbanyakkan kemudahan depoh lateks bagi memudahkan pengumpulan hasil serta membantu menstabilkan harga komoditi berkenaan.

Di Melaka, ujar beliau, sebuah Depoh Berprestasi Tinggi telah disiapkan di Padang Sebang pada Februari lalu dengan kos RM450,000, melibatkan kawasan pengumpulan seluas 255 hektar.

Katanya, RISDA turut merancang pembinaan 50 depoh lateks tambahan di seluruh negara menjelang tahun hadapan bagi memperkukuh rantaian pemasaran dan meningkatkan keupayaan pengumpulan hasil pekebun kecil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

324
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: HAKIM GANDAKAN LANGKAH, SERU PENGUNDI LUAR PULANG MENGUNDI