BN YAKIN MENANG BESAR, KERJASAMA PN SATUKAN UNDI MELAYU – ISMAIL SABRI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

RIM 12 November – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu menyatukan sokongan pengundi Melayu, sekali gus meningkatkan peluang BN mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Sabtu ini.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu menjadi faktor penting bagi mengelakkan undi Melayu berpecah seperti pilihan raya terdahulu apabila BN dan PAS bergerak secara berasingan.

Katanya, keyakinan itu turut didorong pemerhatiannya terhadap gerak kerja jentera BN yang disifatkan tersusun dan kuat sepanjang tiga hari beliau berada di Melaka.

Menurutnya, kesepakatan peringkat akar umbi juga dapat dilihat apabila pemimpin PAS kawasan bersama-sama menyertai aktiviti ziarah rumah ke rumah.

“Tiga hari saya datang Melaka, kita lihat ‘mood’ jentera, daripada segi kerja-kerja jentera BN ini begitu tersusun dan kuat sekali.

“Waktu saya datang ke sini dulu, ada Yang di-Pertua kawasan PAS pun ikut sama, Ketua Bahagian ikut saya pergi rumah ke rumah. Jadi tidak ada sebab kita tengok kita menghadapi masalah dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout di Taman Seri Chinchin, di sini, hari ini.

Hadir sama calon BN N.25 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, penyatuan sokongan antara kedua-dua gabungan itu memberikan keyakinan bahawa pengundi Melayu tidak lagi berpecah kepada beberapa kelompok seperti pilihan raya sebelum ini.

“Jadi tidak ada sebab undi Melayu akan split macam masa lalu. Sebab itu saya yakin kita menang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

189
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN SERASI, HARAP DITERJEMAH KEPADA SOKONGAN RAKYAT