
PRN MELAKA: ZAHID AKUI TIDAK SILAP PILIH AB RAUF PIMPIN MELAKA
PENGKALAN BATU 12 November – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sebagai pilihan tepat untuk menerajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka, berdasarkan prestasi serta pendekatan kepimpinan yang ditunjukkan sejak diberikan tanggungjawab itu.
Beliau berkata, keputusan memilih Ab Rauf untuk kembali ke Melaka bagi memimpin UMNO dan BN negeri ketika beliau memegang jawatan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia sebelum ini ternyata tepat, malah keyakinan itu terus diperkukuh menerusi perkembangan kepimpinan yang ditunjukkan Ab Rauf.
Menurutnya, Ab Rauf menunjukkan pendekatan kepimpinan yang menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, selain memberi perhatian kepada pelbagai kumpulan termasuk penduduk kampung, masyarakat India, Cina, Melayu dan Orang Asli.
“Ketika saya membuat keputusan untuk Datuk Seri Rauf ketika itu beliau adalah Setiausaha Kerja UMNO Malaysia untuk balik ke negeri Melaka untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional Negeri Melaka, alhamdulillah saya tidak membuat keputusan yang salah.
“Beliau adalah pilihan yang tepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Pengundi India Muslim di Bilik Gerakan Pengkalan Batu Masjid An-Nur, Peringgit, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Presiden KIMMA, Datuk Syed Ibrahim Kader; Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Negeri Melaka, Mazvin Jahabardeen; calon BN DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut memantau prestasi Ab Rauf secara peribadi dan berpuas hati dengan pendekatan yang dilaksanakan sepanjang menerajui pentadbiran negeri.
“Sebenarnya secara diam saya memantau prestasi beliau. Alhamdulillah setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi yang dibuat oleh Datuk Rauf, alhamdulillah,” katanya.
Beliau turut memberikan contoh pelaksanaan Kampung Digital yang menurutnya menjadi antara inisiatif unik Melaka apabila sistem berkenaan bukan sahaja merekodkan alamat kediaman di kampung, malah turut merangkumi lokasi perkuburan.
Katanya, beliau sendiri pernah menguji sistem itu ketika menziarahi pusara mentuanya di Masjid Tanah dan mendapati lokasi yang dipaparkan sepadan dengan tempat berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan pembangunan yang dilaksanakan Ab Rauf turut mengambil kira keperluan rakyat daripada pelbagai peringkat umur, bermula daripada bayi, kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah hingga penuntut institusi pengajian tinggi serta dewasa serta warga emas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

