
PRN MELAKA: KIMMA GERAK JENTERA, BANTU PENGUNDI INDIA MUSLIM KELUAR MENGUNDI
PENGKALAN BATU 13 November – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menggerakkan jentera di seluruh 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka bagi memastikan pengundi komuniti India Muslim keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, pihaknya turut menyediakan pusat panggilan (calling centre) bagi menghubungi pengundi pada hari pengundian, termasuk mengenal pasti keperluan pengangkutan serta sebarang masalah yang mungkin menghalang mereka daripada keluar mengundi.
Menurutnya, gerak kerja itu digerakkan menerusi jaringan jentera sedia ada yang telah mengenal pasti dan mengumpulkan data pengundi sejak sebelum pengumuman calon.
“Tugas kita KIMMA untuk menjaga dan memastikan semua pengundi India Muslim dibawa untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pengundi India Muslim yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Utama Ahmad Zahid Hamidi di Bilik Gerakan Pengkalan Batu, Masjid An-Nur, Peringgit, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Negeri Melaka, Mazvin Jahabardeen; calon BN DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan.
Syed Ibrahim berkata, pada hari pengundian juga, pihaknya akan menghubungi seluruh komuniti India Muslim untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“Kita akan hubungi melalui pusat panggilan bagi mengetahui sama ada mereka keluar mengundi, memerlukan pengangkutan atau menghadapi sebarang masalah supaya kita dapat turun membantu menyelesaikannya,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

