
PRN MELAKA : AB RAUF AKUI KEMPEN PRN MELAKA BUKAN MUDAH
AYER KEROH 13 November – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang berlangsung selama dua minggu bukan laluan mudah buat Barisan Nasional (BN), namun parti itu tidak mengambil ringan usaha pihak lain dalam merebut keyakinan pengundi.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, beliau melihat persaingan sepanjang tempoh kempen kali ini memerlukan semua pihak bekerja keras bagi mendapatkan sokongan rakyat.
Menurutnya, beliau yakin rakyat sudah menilai setiap calon dan parti bertanding sebelum menterjemahkan pilihan masing-masing menerusi kertas undi esok.
Katanya, keputusan akhir tetap terletak di tangan pengundi untuk memilih calon yang dianggap terbaik bagi mewakili mereka.
“Saya serahkan kepada rakyat, pilih yang terbaik. Tetapi bagi saya, pen merah pen biru, pilih biru, I love you,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Grand Opening Ceremony KOA Denko Malaysia Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pengarah Urusan KOA Denko Malaysia Sdn Bhd Akira Kinoshita dan Pengerusi KOA Denko Malaysia Sdn Bhd Kazuaki Kitazawa.
Dalam pada itu, Ab Rauf menasihatkan pengundi supaya keluar awal menunaikan tanggungjawab masing-masing esok dan tidak lupa membawa kad pengenalan bagi melancarkan proses pengundian.
“Langkah ini penting berikutan jangkaan cuaca hujan pada sebelah petang yang mungkin menjejaskan kelancaran perjalanan pengundi ke pusat mengundi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


