
PRN MELAKA: LEBIH 7,000 MOTOSIKAL ‘BIRUKAN’ SELURUH MELAKA
TANJUNG BIDARA 13 November – Lebih 7,000 motosikal menyertai ‘flashmob’ konvoi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di seluruh Melaka, termasuk lebih 3,000 daripadanya menggegarkan seluruh Masjid Tanah, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penyertaan memperlihatkan sambutan luar biasa khususnya dalam kalangan anak muda dan wanita pada hari terakhir kempen sebelum hari pengundian esok.
Menurutnya, di Masjid Tanah, pergerakan konvoi berkenaan bermula di Villa d’Acqua sebelum bergerak ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai manifestasi menghangatkan bahang pilihan raya selain menyeru pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing esok.
“Kita dapati sambutan dalam perjalanan kami ke setiap kawasan DUN adalah sangat baik. Lebih 3,000 buah motosikal bersama-sama dengan saya. Jadi di Tanjung Bidara juga dan seluruh Masjid Tanah.
“Malah, di seluruh Melaka kita ada lebih 7,000 motosikal. Ini satu sambutan yang amat baik dalam kalangan anak muda dalam menyokong Geng Biru,” katanya kepada pemberita selepas selesai program ‘flashmob’ berkenaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyeru rakyat Melaka supaya keluar beramai-ramai mengundi esok dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Pen merah, penbiru; undi biru i love you,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


