PRN MELAKA: DR. AKMAL SELESAI TUNAI TANGGUNGJAWAB MENGUNDI DI SK MERLIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MERLIMAU 14 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau, di sini, pagi ini.

Beliau tiba di pusat mengundi kira-kira jam 8.40 pagi bersama isterinya, Dr. Fatin Nadhirah Idrus sebelum selesai mengundi di saluran lima pada jam 8.50 pagi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 ini, Muhamad Akmal berdepan saingan dua penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah bagi mempertahankan kerusi DUN Merlimau.

PRN kali ini menyaksikan seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN dengan keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 675,166 merupakan pengundi biasa, manakala 12,531 lagi terdiri daripada anggota tentera, pasangan serta anggota polis yang mengundi melalui pengundian awal dan undi pos.

Sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri bagi membolehkan proses pengundian berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

Pilihan raya kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Melaka Ke-15 pada 23 September lalu.

Pada PRN Melaka 2021, BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

237
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF BERPUAS HATI, LEBIH 500 PENGUNDI HADIR SEBELUM 9 PAGI
Next post PRN MELAKA: NADARAJAH SELESAI MENGUNDI DI SK SERI DUYONG