PRN MELAKA: FAIRUL NIZAM HARAP PENGUNDI MANFAATKAN CUACA BAIK, KELUAR MENGUNDI AWAL

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ASAHAN 14 November – Pengundi di seluruh Melaka diseru keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing seawal mungkin bagi mengelakkan kemungkinan berdepan cuaca hujan yang dijangka berlaku pada sebelah petang.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, suasana hari pengundian setakat ini berlangsung dalam keadaan tenang, aman dan damai.

Beliau berkata, keadaan cuaca cerah pada sebelah pagi perlu dimanfaatkan pengundi untuk hadir ke pusat mengundi lebih awal, selain mengambil kira ramalan hujan pada sebelah petang.

“Saya nampak keadaan tenang, aman dan damai. Negeri Melaka ini memang lain daripada yang lain pilihan rayanya, semuanya kita bersaudara cuma kita mempunyai pendirian masing-masing.

“Jadi, kita menyerulah kepada semua pengundi di seluruh negeri Melaka dan khususnya di DUN Asahan untuk keluar seawal mungkin bagi mengelakkan cuaca hujan yang dijangkakan pada sebelah petang,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fairul Nizam turut menzahirkan rasa syukur apabila pengundi yang berada di luar kawasan mula pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat sejak semalam.

Katanya, masih terdapat pengundi yang sedang dalam perjalanan pulang hari ini dan beliau berharap perjalanan mereka dipermudahkan serta selamat tiba untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Rata-rata saya tengok pengundi-pengundi luar pun dah mula balik, dan hari ini juga masih ada lagi yang dalam perjalanan.

“Kita doakan perjalanan mereka selamat sampai dan selepas mengundi nanti, bolehlah duduk berkumpul bersama keluarga, ibu ayah untuk meraikan apa yang patut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TOK AJAK SELESAI MENGUNDI DI SK TELOK MAS
Next post PRN MELAKA: MAT AZIZ PENGUNDI PERTAMA DI SMK TELOK MAS