
BERKAIN PELIKAT, BERTENGKOLOK TUNAI TANGGUNGJAWAB MENGUNDI
DUYONG, 14 November – Penampilan unik seorang warga emas yang hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan berkain pelikat dan bertengkolok mencuri perhatian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, hari ini.
Rohani Ahmad Darus, 72, berkata pemakaian busana tradisional itu bukan sekadar pilihan peribadi, sebaliknya menjadi usaha kecilnya untuk terus memperkenalkan dan memelihara budaya Melayu agar tidak ditelan zaman.
Pesara Lembaga Letrik Negara (LLN) yang pernah berkhidmat sebagai juruteknik itu berkata, beliau sudah mengamalkan pemakaian berkenaan sejak kira-kira 20 tahun lalu, termasuk ketika menjalani kehidupan seharian.
Menurutnya, kecenderungan itu bermula kira-kira dua tahun sebelum bersara apabila beliau mengambil keputusan untuk menjadikan pakaian tradisional sebagai sebahagian daripada identiti dirinya.
“Matlamat saya nak memperkenalkan budaya Melayu dan budaya Malaysia supaya jangan hilangkan budaya itu.
“Orang Malaysia, orang Melayu kena pakai pakaian ini. Kita sudah pakai baju Melayu, cuma tukar songkok kepada tengkolok sahaja, bezanya sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di SK Seri Duyong, di sini.
Bagi Rohani, yang sudah lebih 30 tahun menetap di Duyong selepas membeli rumah di Taman Seri Duyong, kehadirannya ke pusat mengundi kali ini membawa kepuasan tersendiri apabila berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat buat kali ke-16.
Mengulas pengalaman mengundi kali ini, beliau menyifatkan proses pengundian lebih teratur berbanding pengalaman terdahulu, terutama dari segi disiplin dan kelancaran pengurusan di pusat mengundi.
Katanya, keputusan untuk hadir lebih awal turut membolehkannya menyelesaikan urusan mengundi dengan lebih mudah dan selesa.
“Kalau dahulu saya datang lambat, tetapi kali ini datang awal. Jadi semuanya lebih teratur, sistem pun baik dan keadaan lebih berdisiplin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


