
PRN MELAKA: FAIRUL NIZAM HARGAI KOMITMEN PETUGAS PILIHAN RAYA, INGATKAN MEDIA JAGA KESELAMATAN
MACHAP 14 November – Pengorbanan petugas keselamatan serta pengamal media yang mula berkampung seawal jam 7.30 pagi di pusat-pusat membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mendapat penghargaan khusus daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan menzahirkan ucapan terima kasih atas komitmen tinggi yang ditonjolkan oleh semua pihak terbabit, namun pada masa sama mengingatkan mereka agar sentiasa mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan diri sepanjang bertugas.
Menurut beliau, petugas media yang bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain merentasi pelbagai kawasan DUN dan parlimen menuntut tahap stamina yang tinggi serta pemanduan yang berhati-hati.
“Terima kasih rakan-rakan media seawal pagi sudah mula bertugas, saya dikhabarkan 7.30 pagi semua rakan media telah menunggu di tempat membuang undi.
“Saya tahu banyak pasukan daripada pelbagai lapisan media turun ke Melaka. Jadi saya berharap rakan-rakan media semua dapat menjaga keselamatan diri, kesihatan, jaga makan minum dan keselamatan sewaktu memandu,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di SK Seri Machap, hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap keletihan yang dialami oleh para petugas keselamatan dan media, memandangkan mereka perlu terus bekerja keras walaupun selepas peti undi ditutup secara rasminya pada jam 5.00 petang ini.
“Saya tahu semua penat, sikit saja lagi. Peti undi tutup jam 5 petang, media dan petugas keselamatan pun tak berehat lagi kerana akan menunggu keputusan keseluruhan di peringkat negeri nanti,” tambahnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


