WARUNG JADI ‘PEJABAT TERBUKA’ ADUN LENDU DEKATI RAKYAT SAMBIL BERSARAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

LENDU 18 November – Bersarapan di warung bukan sekadar rutin mengisi perut, sebaliknya menjadi pendekatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, untuk mendekati rakyat dan mendengar sendiri denyut nadi masyarakat setempat.

Menurut Abdul Hakim, pendekatan santai itu amat penting, khususnya bagi dirinya yang masih baharu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, bagi mendapatkan maklum balas serta memahami keperluan penduduk dalam merancang pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, beliau tidak kekok menggunakan pendekatan turun padang kerana amalan beramah mesra dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat sudah menjadi kebiasaannya sebelum ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau berkongsi suasana bersarapan sambil bertukar-tukar pandangan bersama penduduk setempat di Kedai Nasi Gunting, Majid Tanah.

Menurutnya, suasana santai di warung memberi ruang kepada penduduk untuk berkongsi pandangan, menyuarakan harapan serta mengutarakan permasalahan yang dihadapi tanpa perlu terikat dengan protokol rasmi.

Beliau berkata, warung tepi jalan bukan sekadar tempat menjamu selera, malah menjadi medan pertemuan masyarakat untuk berbincang mengenai isu semasa dan perkara yang dekat dengan kehidupan mereka.

“Selain menunggu di pejabat, saya berjumpa rakyat dan mereka boleh terus menyuarakan permasalahan dihadapi. Kaedah turun padang menyantuni rakyat ini juga disarankan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Tambahnya, pendekatan berkenaan membolehkan rakyat berasa lebih selesa untuk menyampaikan pandangan dan masalah secara terbuka tanpa perlu menunggu tarikh janji temu atau melalui prosedur tertentu.

Jelasnya, komunikasi secara langsung dengan masyarakat penting bagi memastikan setiap perancangan dan usaha pembangunan yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira keperluan serta aspirasi penduduk setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

186
Kongsi :
Previous post SALIRAN TERSUMBAT, ISU KOLAM TAKUNGAN ANTARA PUNCA BANJIR KILAT SUNGAI UDANG
Next post PENAT CUCI RUMAH, PERABOT ROSAK, PENDUDUK HARAP BANJIR BERULANG DINOKTAHKAN