
KEPIMPINAN BERJIWA RAKYAT, PENIAGA SAMBUT BAIK AB RAUF KEKAL KETUA MENTERI
REMBIA 21 November – Pelantikan semula Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 bagi penggal kedua memberi kelegaan besar kepada golongan peniaga kecil yang menyifatkan kepimpinan beliau berjaya menjamin kelangsungan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.
Peniaga, S. Gheetha, 58, meluahkan rasa syukur atas kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan pentadbiran negeri dan menyifatkan Ab Rauf sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang bukan sahaja ramah dan mudah didekati, malah amat cakna terhadap rintihan masyarakat.
Menurutnya, corak pentadbiran yang dibawa oleh Ketua Menteri itu amat disenangi komuniti peniaga berikutan inisiatif Kerajaan Negeri yang sentiasa pantas menyalurkan pelbagai bentuk bantuan sokongan khusus kepada golongan rentan dan mereka yang memerlukan.
“Kita sangat gembira dan bersyukur apabila Tok Rauf terus memimpin negeri ini kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang sangat baik, peramah dan sentiasa menyokong komuniti peniaga kecil. Sepanjang pentadbirannya sebelum ini, banyak bantuan kebajikan telah diberikan kepada masyarakat.”
“Sebagai contoh, ada rakan peniaga yang berstatus orang kurang upaya (OKU) di pasar ini turut menerima bantuan dan sokongan kebajikan secara berterusan bagi menampung kehidupan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pasar Alor Gajah, di sini, pada Selasa.
Meskipun menaruh sepenuh keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada, S. Ghita yang telah 32 tahun berniaga di kawasan terbabit turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri dapat memberi tumpuan khusus dalam usaha mengawal kos operasi perniagaan yang semakin membebankan.
Katanya, pihak berwajib diharap dapat merangka mekanisme yang lebih proaktif bagi campur tangan secara berkesan dalam menurunkan harga pelbagai barang keperluan asas dan bahan mentah di pasaran ketika ini.
“Kami tidak mengharapkan sokongan kewangan semata-mata daripada pihak kerajaan, sebaliknya kami cuma memohon agar harga barangan di pasaran dapat dikawal dan diturunkan.
Sekiranya isu kenaikan harga barang ini berjaya diselesaikan, ia sudah cukup memberi kelegaan besar kepada peniaga kecil seperti kami untuk terus bernafas dan mencari rezeki,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

