
TOK HAMEED TURUN PADANG, NASIB TUJUH BERANAK DITIMPA MUSIBAH DIBERI PERHATIAN
AYER LIMAU 17 November – Kejadian bumbung kediaman runtuh yang menimpa sebuah keluarga membabitkan tujuh beranak di Jalan Bilal Mamat, Kampung Pinang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Hameed yang turun padang meninjau keadaan kediaman mangsa berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang tadi ketika hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Insiden itu turut menyebabkan kediaman keluarga terbabit dimasuki air, sekali gus menambah kesulitan mereka yang berdepan musibah berkenaan.
“Insya-Allah, tindakan susulan akan diambil bagi memastikan bantuan dan perhatian sewajarnya dapat diberikan kepada keluarga yang terlibat.
“Semoga keluarga yang diuji terus diberikan kekuatan dan ketabahan. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Dalam perkembangan sama, Hameed turut meninjau sebuah lagi kediaman yang dimasuki air susulan hujan lebat yang melanda hampir keseluruhan Negeri Melaka.
Beliau berkata, tindakan susulan akan diambil bagi membantu keluarga terjejas, sekali gus meringankan beban mereka yang berdepan musibah.
“Kita juga akan mengambil tindakan susulan bagi membantu keluarga ini bagi meringankan bebanan mereka yang diuji dengan musibah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

