SALIRAN TERSUMBAT, ISU KOLAM TAKUNGAN ANTARA PUNCA BANJIR KILAT SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SUNGAI UDANG 17 November – Permasalahan berkaitan sistem saliran dan penyelenggaraan kolam takungan dikenal pasti sebagai antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir kilat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang Datuk Rais Yasin, semua perkara itu memerlukan tindakan segera dan penyelarasan menyeluruh semua agensi berkaitan.

Rais yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, berkata pada penggal lalu beliau turut memberi perhatian terhadap isu infrastruktur berkenaan susulan kejadian hujan lebat yang melanda DUN itu.

Katanya, hasil tinjauannya sekitar sempadan antara DUN Sungai Udang dan DUN Pantai Kundor di Kampung Paya Rumput mendapati terdapat halangan pada sistem saliran sungai yang dikaitkan dengan pembangunan lama sehingga menjejaskan kelancaran aliran air.

“Keadaan ini memerlukan tindakan segera termasuk kerja pembersihan saliran oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta cadangan pembinaan pintu kepak (flap gate) bagi membantu mengawal aliran air.

“Selain itu, masalah limpahan air di Taman Terendak Permai turut dikenal pasti berkait dengan keadaan kolam takungan dibina bagi projek perumahan keluarga Angkatan Tentera sebelum ini, namun tidak diselenggara dengan sempurna.

“Kolam berkenaan memerlukan penyelenggaraan termasuk pembersihan mendapan pasir bagi memastikan kapasiti takungan dapat berfungsi dengan baik, terutama ketika menerima taburan hujan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kampung Paya Rumput Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Dalam perkembangan sama, Rais berkata, Kerajaan Negeri akan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan termasuk pihak tentera, JPS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani segera tanpa terikat dengan isu pertindihan bidang kuasa.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan pembaikan dan penyelenggaraan dapat dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir kilat berulang, khususnya ketika negeri ini berada dalam fasa Monsun Timur Laut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

186
Kongsi :
Previous post TOK HAMEED TURUN PADANG, NASIB TUJUH BERANAK DITIMPA MUSIBAH DIBERI PERHATIAN