RISIKO BANJIR MENINGKAT, CIKGU MUS AKTIFKAN LANGKAH PEMINDAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 18 November – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal diminta mempercepatkan persiapan pemindahan penduduk di kawasan rendah berisiko banjir sebagai langkah mengelakkan kejadian tidak diingini susulan peningkatan paras air sungai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil lebih awal berikutan aliran air dari kawasan Sri Pengkalan dan Gadek yang semakin meningkat serta berpotensi menjejaskan beberapa penempatan di kawasannya.

Menurutnya, penduduk yang terjejas perlu bersedia berpindah ke lokasi selamat tanpa menunggu keadaan banjir menjadi lebih buruk atau pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka secara rasmi.

“Kepada penduduk Durian Tunggal yang terlibat dengan kawasan banjir, saya memohon supaya sentiasa bersabar dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya minta mereka bersedia untuk berpindah ke tempat yang selamat walaupun pusat pemindahan belum dibuka secara rasmi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mustafa berkata, sekurang-kurangnya empat kawasan penempatan rendah yang memerlukan pemantauan rapi dikenal pasti berisiko terjejas, iaitu Beringin, Parit Melana, Panchor dan Belimbing Dalam.

Katanya, peningkatan paras air serta aliran deras dari kawasan Sri Pengkalan dan Gadek menimbulkan kebimbangan kemungkinan limpahan air turut melibatkan kawasan penempatan berkenaan.

“Berdasarkan keadaan air yang sedang meningkat di kawasan Sri Pengkalan dan Gadek, ada kemungkinan paras air turut naik di kawasan-kawasan rendah tersebut.

“Jika keadaan itu berlaku, saya memohon supaya Pengerusi JPKK dan kepimpinan kampung segera membantu memindahkan penduduk ke lokasi pemindahan yang selamat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan akar umbi supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa paras air dan tidak mengambil mudah sebarang petunjuk awal kemungkinan banjir.

Katanya, pihaknya akan terus memantau keadaan serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk yang berisiko terjejas sentiasa diberi perhatian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post ‘TOK MAN’ MAHU AKHIRI EPISOD AIR BERTAKUNG SIMPANG SERKAM PEKAN