
HEE SEM RANGKA ‘BENTENG’ ATASI BANJIR PEKAN KUALA SUNGGA
SERI NEGERI 19 November – Cadangan supaya sebuah kolam takungan air dibina atau diperdalam di kawasan estet dikenal pasti antara langkah yang mahu diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem bagi mengurangkan risiko banjir di pekan Kuala Sungga.
Beliau berkata, langkah itu perlu diberi perhatian susulan kejadian banjir yang berlaku di beberapa lokasi sekitar kawasan berkenaan, termasuk yang ditinjau sendiri beliau dalam kejadian banjir, baru-baru ini.
Menurutnya, aliran air deras dari kawasan estet ketika hujan lebat dipercayai menjadi antara faktor menyumbang kepada masalah berkenaan, justeru perbincangan dengan pihak pengurusan estet akan diadakan bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
“Kita akan berjumpa dengan pihak estet supaya mereka dapat menggali kolam sedia ada dengan lebih dalam dan menjadikannya seperti kolam takungan atau tebatan air.
“Tujuannya supaya air hujan dapat ditakung terlebih dahulu dan tidak mengalir terlalu deras hingga menyebabkan kawasan pekan Kuala Sungga berisiko dilanda banjir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai gerak kerjanya selepas memenangi kerusi DUN Machap Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Ngwe berkata, beliau sudah kembali bertugas seawal Selasa lalu bagi meninjau keperluan penduduk serta menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diberikan.
“Sebaik kembali ke pejabat dan pergi ke beberapa tempat untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas sokongan yang diberikan sehingga saya memperoleh kemenangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


