
MEDIPULIH PERLUAS PERANAN, BINA KOMUNITI LEBIH CAKNA KESIHATAN
BANDA HILIR 19 November – Penjagaan kesihatan tidak seharusnya terhad kepada rawatan ketika sakit, sebaliknya perlu merangkumi pencegahan, pengesanan awal dan pemulihan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Pendekatan itu menjadi antara fokus Klinik MediPulih di bawah Bloom Healthcare Group dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti menerusi pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik.
Komitmen berkenaan dizahirkan menerusi penyertaan MediPulih dalam Program Derma Darah dan Hari Kesihatan Komuniti 2026 yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini.
Ketua Strategi Korporat MediPulih, Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, program seumpama itu menjadi platform untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Menurutnya, MediPulih mahu menggalakkan masyarakat mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan dan tidak hanya mendapatkan rawatan apabila berdepan masalah kesihatan.
“Bagi kami di MediPulih, program seperti ini merupakan platform yang sangat baik untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
“Kami mahu masyarakat lebih cakna terhadap kesihatan dan memahami bahawa penjagaan kesihatan bukan sahaja melibatkan rawatan, tetapi turut merangkumi pencegahan, pemulihan serta pembudayaan gaya hidup aktif,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Abuzar berkata, komitmen membantu komuniti turut diperkukuhkan menerusi inisiatif Kad Rahmah Bloom Mekar, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diperkenalkan pada 25 April lalu sempena pembukaan rasmi MediPulih Klinik dan Klinik Pergigian Tulen cawangan Batu Berendam.
Inisiatif itu bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan pada kadar lebih berpatutan, khususnya kepada golongan B40, ibu atau bapa tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar dan masyarakat Orang Asli.
Menerusi kad berkenaan, penerima boleh menikmati potongan RM20 bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rangkaian Klinik MediPulih.
Sehingga Oktober lalu, lebih 10,000 Kad Rahmah Bloom Mekar telah diedarkan menerusi rangkaian klinik berkenaan di Melaka dan beberapa negeri lain termasuk Selangor, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.
Selain itu, menerusi penglibatan Klinik MediPulih bersama Lions Club, pengunjung yang layak turut berpeluang mendapatkan saringan kesihatan percuma di bawah inisiatif PeKa B40 bagi membantu pengesanan awal masalah kesihatan.
Katanya, pendekatan penjagaan kesihatan menyeluruh itu turut melibatkan kerjasama Tulen Dental yang menyediakan pemeriksaan asas pergigian percuma, selain rakan strategik Anytime Fitness dan Aum Physioworkz yang memberi tumpuan kepada aspek kecergasan, rehabilitasi serta pemulihan fizikal.
“Kerjasama pelbagai pihak itu mencerminkan usaha membina pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada perkhidmatan klinikal semata-mata.
“Melalui inisiatif Kad Rahmah Bloom Mekar, kami berharap dapat memberi nilai tambah kepada komuniti, khususnya golongan yang memerlukan, melalui manfaat kesihatan yang ditawarkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


