KHAIDHIRAH MAHU BIMBING PENERIMA BANTUAN TINGKAT POTENSI, KEUPAYAAN DIRI

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SERI NEGERI 19 November – Meneruskan agenda kebajikan dan memperkasakan golongan wanita, keluarga serta masyarakat menjadi fokus Datuk Khaidhirah Abu Zahar selepas dilantik sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

Khaidhirah berkata, keutamaan beliau adalah memastikan segala inisiatif kebajikan sudah dilaksanakan sebelum ini diteruskan bagi menjamin kesejahteraan rakyat Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim itu berkata, usaha berkenaan juga akan disusuli dengan langkah memperkasakan golongan sasar supaya mereka bukan sahaja menerima bantuan tetapi berupaya meningkatkan potensi dan keupayaan diri.

“Melaka merupakan negeri kebajikan untuk itu kita akan meneruskan agenda-agenda yang telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjaga.

“Malah pada masa sama, kita akan melihat ruang yang boleh diperkasakan lagi supaya golongan yang boleh diperkasakan itu dapat terus diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, pada majlis yang berlangsung di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai pelantikannya Khaidhirah berkata, beliau hanya mengetahui tentang portfolio itu selepas selesai majlis mengangkat sumpah.

“Alhamdulillah walaupun agak terkejut tetapi saya syukur kerana diberi kepercayaan untuk menerajui portfolio ini.

“Amanah diberikan ini saya akan laksanakan sebaik mungkin selain akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan dalam memacu agenda pembangunan wanita termasuk kebajikan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

234
Kongsi :
Previous post HEE SEM RANGKA ‘BENTENG’ ATASI BANJIR PEKAN KUALA SUNGGA
Next post MOHD RIDHWAN KOMITED JAYAKAN MANIFESTO PENDIDIKAN, TVET