
NIKMAT KEMAJUAN MESTI DIRASAI SETIAP RAKYAT – AB RAUF
SERI NEGERI 19 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh mahu setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri memberi manfaat kepada seluruh rakyat, bukan sekadar menjadikan Melaka sebuah negeri yang maju.
Beliau berkata, matlamat utama pentadbiran negeri adalah memastikan setiap lapisan masyarakat turut merasai nikmat kemajuan menerusi peningkatan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Satu pasukan, satu hala tuju, satu matlamat untuk membina Melaka yang lebih maju dan memastikan setiap rakyat merasai nikmat kemajuannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, beliau bersama seluruh barisan pentadbiran berikrar untuk menjunjung amanah yang diberikan dengan penuh kesetiaan, selain berpegang teguh kepada keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Katanya, seluruh barisan kepimpinan negeri akan mencurahkan khidmat bakti demi memastikan kemajuan dan kemakmuran Melaka terus diperkukuh.
“Sesungguhnya, jawatan adalah sementara, kuasa bukan untuk dimegahkan, tetapi untuk diterjemahkan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Itulah iltizam kami dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


