
1,500 UMAT ISLAM BERHIMPUN, TANDA KESYUKURAN DAN DOA UNTUK MELAKA
PENGKALAN BATU 19 November – Kira-kira 1,500 umat Islam berhimpun di Masjid Al-Azim, Bukit Palah bagi menzahirkan kesyukuran serta memohon keberkatan dan kesejahteraan negeri menerusi Majlis Bacaan Yasin Perdana Kerajaan Negeri Melaka, malam ini.
Majlis yang menghimpunkan jemaah daripada pelbagai lapisan masyarakat itu dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan surah Yasin dan doa bersama.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam turut hadir dengan ketibaan beliau kira-kira jam 6.45 petang disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Penganjuran majlis itu menjadi wadah menyatukan umat Islam dalam pengisian kerohanian, selain menzahirkan rasa syukur dan memohon agar negeri Melaka terus dikurniakan keamanan, kesejahteraan serta kemakmuran.
Penyertaan kira-kira 1,500 jemaah turut mencerminkan peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah yang bukan sahaja menjadi tempat menunaikan ibadah, malah mengeratkan hubungan masyarakat menerusi aktiviti keagamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


