ZULKIFLEE MAHU KLINIK UZUR DINAIK TARAF, BEBAN PETUGAS KESIHATAN DITANGANI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 21 November – Usaha menaik taraf klinik kesihatan yang uzur serta menangani isu bebanan tugas dalam kalangan doktor dan jururawat bakal menjadi antara keutamaan Timbalan Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Zukiflee Mohd Zin.

Zukiflee berkata, penelitian akan dilakukan bagi mengenal pasti klinik kesihatan yang memerlukan kerja-kerja naik taraf, khususnya premis yang berada dalam keadaan uzur.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kemudahan kesihatan yang disediakan kepada masyarakat sentiasa berada pada tahap terbaik, sekali gus memberikan keselesaan kepada pesakit dan petugas kesihatan.

“Saya akan melihat terutama klinik kesihatan yang terlalu uzur untuk kita naik taraf selain memberi tumpuan kepada perkembangan klinik sebelum ini yang dalam proses penambahbaikan.

“Kemudahan klinik kesihatan yang berada dalam keadaan baik dan mempunyai fasiliti lengkap bukan sahaja memberi implikasi kepada kakitangan malah rakyat khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti serta selesa,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning itu berkata, selain aspek infrastruktur, kebajikan petugas kesihatan khususnya doktor dan jururawat turut menjadi perhatian berikutan bebanan tugas yang dihadapi mereka ketika ini.

Katanya, beliau dimaklumkan petugas kesihatan terpaksa mengendalikan jumlah pesakit yang tinggi berbanding nisbah tenaga kerja sedia ada, sekali gus memerlukan perhatian dan penyelesaian sewajarnya.

“Saya difahamkan doktor dan jururawat kini berdepan dengan bebanan apabila terpaksa menjaga pesakit dalam nisbah agak tinggi.

“Untuk itu saya akan memaklumkan hal ini kepada Exco Kesihatan, Datuk Wira Lim Ban Hong untuk dibawa ke mesyuarat bersama menteri agar tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan portfolio baharunya, Zukiflee berkata, pertukaran daripada Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana kepada Timbalan Exco Kesihatan dan Modal Insan memberikan cabaran baharu dalam menggalas tanggungjawab lebih luas.

Jelasnya, tanggungjawab itu bukan sahaja melibatkan usaha memperkukuh kemudahan kesihatan, malah memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus dipertingkatkan.

Beliau berharap segala usaha yang dirancang dapat dilaksanakan secara berperingkat demi memastikan sistem penyampaian kesihatan negeri terus berada pada landasan terbaik, selain kebajikan petugas kesihatan sentiasa diberi perhatian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

209
Kongsi :
Previous post ILMU BUKAN UNTUK DIRI, AB RAUF HADIAHKANNYA KEPADA RAKYAT