BUKAN SEKADAR TUGAS, INI PENGORBANAN MEREKA DEMI LENDU YANG BERSIH

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat
LENDU 23 November – Setiap pekerjaan mempunyai nilai dan sumbangan tersendiri dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni, justeru, tiada pekerjaan yang wajar dipandang rendah kerana setiap individu memainkan peranan penting dalam melengkapi kehidupan seharian.

Atas semangat menghargai setiap jasa dan pengorbanan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, meluangkan masa menyantuni serta beramah mesra bersama petugas pembersihan SWM Enviroment yang menjadi antara tulang belakang dalam memastikan kebersihan dan keselesaan persekitaran di seluruh kawasan Lendu.

Katanya, tugas dilaksanakan oleh warga SWM mungkin tidak selalu mendapat perhatian masyarakat, namun sumbangan dan pengorbanan mereka amat besar serta memberikan manfaat kepada seluruh penduduk.

Menurutnya, kebersihan persekitaran yang dinikmati masyarakat hari ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa komitmen, kesungguhan dan dedikasi golongan pekerja pembersihan yang bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab mereka setiap hari.

Dalam kesempatan itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja SWM atas segala masa, tenaga dan usaha yang dicurahkan demi kesejahteraan masyarakat.

Beliau berharap agar segala urusan warga kerja SWM sentiasa dipermudahkan dan setiap usaha serta pengorbanan yang dilakukan menjadi sumber rezeki yang diberkati buat mereka sekeluarga.

“Hormatilah setiap pekerjaan, hargailah setiap pengorbanan. Kerana sebuah masyarakat yang harmoni bermula dengan sikap saling menghormati, menghargai dan bertimbang rasa.

“Kebersihan merupakan tanggungjawab bersama. Marilah kita sama-sama menjaga persekitaran demi kesejahteraan seluruh warga Lendu,” katanya.

Pertemuan tersebut mencerminkan keprihatinan dan penghargaan terhadap golongan pekerja yang menjadi nadi penting dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih, selesa dan kondusif untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat.

Sesungguhnya, kemajuan sesebuah komuniti bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi turut dinilai melalui sejauh mana masyarakat menghargai setiap insan yang menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

379
Kongsi :
Previous post LANGKAH PERTAMA HEE SEM, PERKUKUH USAHA TARIK PELABURAN KE MELAKA