AMALAN KITAR SEMULA MBMB BANTU KEPERLUAN HOSPITAL

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 22 November – Amalan kitar semula di Melaka turut memberi manfaat kepada sektor kesihatan apabila beg kertas terpakai dikumpulkan untuk kegunaan Jabatan Farmasi Hospital Melaka.

Inisiatif menerusi program Bag2Care itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Hospital Melaka, menerusi penyediaan kios khas untuk orang ramai menyumbangkan beg kertas.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu turut memberi nilai tambah kepada Program Anda Kitar Kami Bayar (AKKB) MBMB apabila usaha mengumpulkan bahan terpakai membuka ruang kepada masyarakat menyumbang kepada pihak memerlukan.

“Program yang diadakan di Dataran Bandaraya MBMB ini berjaya mengumpulkan sebanyak 6,617.60 kilogram (kg) barangan kitar semula dengan nilai keseluruhan RM9,652.12.

“Daripada jumlah itu, minyak masak terpakai mencatatkan kutipan tertinggi sebanyak 2,556 kg dengan nilai RM8,179.20, diikuti bahan 3R sebanyak 1,924.60 kg (RM837.29), fabrik 907 kg (RM45.35) dan sisa elektronik (e-waste) sebanyak 737 kg (RM221.10).

“Turut dikumpulkan ialah 294 kg bahan tetrapak dan botol kaca bernilai RM26.28, 100.5 kg bateri terpakai (RM340), 69.5 kg bahan pemuliaan al-Quran dan buku Yasin serta 29 kg serta sisa makanan bernilai RM2.90,” katanya.

IMG 20261121 WA0007
MINYAK masak terpakai yang dikumpul menerusi Program Anda Kitar Kami Bayar (AKKB) di Dataran Bandaraya MBMB. Foto Facebook Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah

Shadan berkata, MBMB merakamkan penghargaan kepada warga bandaraya dan agensi terlibat atas kerjasama serta sokongan dalam menjayakan program berkenaan.

“Program ini juga menjadi platform untuk membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat ke arah mewujudkan bandaraya lebih bersih, hijau dan lestari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

242
Kongsi :
Previous post APLIKASI ‘SMART TOURISM MELAKA AI’ DITAMBAH BAIK, BAKAL DILENGKAPI KEMUDAHAN PEMBAYARAN