MPHTJ BERJAYA SELESAIKAN 84 PERATUS DARIPADA KESELURUHAN 3,800 ADUAN DITERIMA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 22 November – Sebanyak 3,800 aduan diterima Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sejak Januari hingga kini, dengan 84 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, aduan tertinggi yang diterima membabitkan isu berkaitan penyelenggaraan pokok, kebersihan serta kerosakan infrastruktur.

Beliau berkata, permohonan mencantas dan menebang pokok antara yang paling kerap disuarakan orang ramai selain isu kebersihan termasuk penyelenggaraan longkang.

Katanya, MPHTJ sentiasa memberi perhatian terhadap setiap aduan yang diterima bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat dapat disampaikan dengan cekap dan berkesan.

“Sejak Januari hingga 20 November (semalam) kita telah menerima 3,800 duan dan daripada jumlah itu sebanyak 84 peratus telah berjaya diambil tindakan dan diselesaikan.

“Memang menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan segala aduan yang diterima diambil tindakan dan diselesaikan dalam kadar segera sekali gus menyelesaikannya sebaik mungkin bagi keselesaan rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman sempena lawatan kerja rasmi ke MPHTJ pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Jezlee Pit dan Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.

Menurut Sapiah, sepanjang pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) telah menerima sebanyak 192 aduan membabitkan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibawah kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit.

“Daripada jumlah itu sebanyak 184 aduan berjaya diselesaikan manakala bakinya 12 aduan masih dalam tindakan untuk diselesaikan ini kerana ia membabitkan permohonan peruntukan.

“Bagaimana pun, kita jangkakan baki aduan ini akan diselesaikan sebelum berakhirnya hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu Sapiah berkata, hubungan erat antara PBT itu bersama Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman selaku Exco baharu yang menerajui portfolio itu tidak asing lagi kerana pihaknya sebelum ini pernah bekerjasama semasa beliau menerajui portfolio pelancongan dan pertanian negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

217
Kongsi :
Previous post AMALAN KITAR SEMULA MBMB BANTU KEPERLUAN HOSPITAL