PERPUSTAKAAN DESA BUKAN SEKADAR TEMPAT MEMBACA, JADI PUSAT AKTIVITI KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 November – Perpustakaan desa bukan sekadar menjadi tempat mendapatkan bahan bacaan, malah berpotensi berperanan sebagai pusat aktiviti komuniti menerusi penganjuran program pendidikan, kreativiti dan interaksi masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa berkata, penganjuran Program Sentuhan Komuniti Bestari peringkat negeri Melaka di Perpustakaan Desa Kampung Parit Melana berjaya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar selain mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri berkata, program anjuran Perpustakaan Negara dan Perpustakaan Negeri Melaka yang berlangsung pada Sabtu itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada golongan pelajar, malah turut melibatkan ibu bapa, guru dan komuniti setempat.

Katanya, pelbagai pengisian disediakan termasuk aktiviti bercerita, membaca dan melukis yang memberi ruang kepada pelajar mengembangkan kreativiti serta menghasilkan karya menerusi pendekatan pembelajaran lebih santai.

“Program ini bukan sahaja untuk pelajar atau anak-anak sekolah, tetapi juga untuk komuniti dalam kampung itu yang melibatkan ibu bapa, guru, kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pengurusan perpustakaan desa.

“Saya mendapat makluman bahawa mereka amat seronok dengan pengisian seperti ceramah, pertandingan dan pameran, malah mendambakan program seumpama ini dapat dikerapkan khususnya di DUN Durian Tunggal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah DUN Durian Tunggal di Balai Raya Taman Angkasa Nuri, di sini, pada Ahad.

Mustafa berkata, penglibatan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pejabat Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi reruai pameran turut memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat serta berinteraksi secara langsung dengan agensi berkaitan.

Selain itu, pameran buku dan perkhidmatan perpustakaan bergerak yang disediakan turut memperluas akses masyarakat kepada bahan bacaan serta perkhidmatan perpustakaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perpustakaan Negara dan Perpustakaan Negeri Melaka atas pemilihan Perpustakaan Desa Kampung Parit Melana sebagai lokasi penganjuran program berkenaan.

“Saya yakin dan percaya program ini amat bermanfaat serta memberi impak positif khususnya dalam membina budaya membaca supaya pelajar dapat berkarya dalam pelbagai aspek pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT DI 28 DUN BERMULA 2027