
20 TAHUN MELAHIRKAN JURURAWAT, KOLEJ ORIENTAL NILAM RAI 422 GRADUAN BAHARU
AYER KEROH 23 November – Selepas dua dekad melahirkan tenaga profesional dalam bidang penjagaan kesihatan, Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Oriental Nilam meneruskan sumbangannya apabila meraikan kejayaan 422 graduan menerusi Majlis Konvokesyen Ke-7, 21 November lalu.
Majlis konvokesyen yang berlangsung di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu turut menjadi simbolik sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan kolej berkenaan yang komited melahirkan jururawat kompeten, beretika dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan sektor penjagaan kesihatan negara.
Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali bin Mohd Rustam selaku tetamu kehormat.
Hadir sama, Pengerusi Nilam Healthcare Education Centre Sdn Bhd, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang; Pengarah Urusan Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Oriental Nilam, Dr. Tan Hui Ling; Pengarah Nilam Healthcare Education Centre Sdn Bhd, Datuk Seri Datuk Wira Tan Hui Jing serta Ketua Eksekutif kolej, Kathy Yu Mee Siang.
Majlis itu menyaksikan seramai 422 graduan daripada program Diploma Kejururawatan dan Post Basic diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian masing-masing, sekali gus menandakan permulaan perjalanan baharu mereka dalam bidang profesional.

Pada masa sama turut diadakan Lafaz Ikrar Jururawat oleh para graduan sebagai simbol komitmen mereka untuk menggalas tanggungjawab profesion berkenaan dengan penuh dedikasi, integriti dan akauntabiliti dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.
Sementara itu, Nur Fatihah Najwa Kamalnurnizam mewakili graduan Diploma Kejururawatan berkata, perjalanan tiga tahun pengajian di institusi itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan ilmu dan kemahiran klinikal, malah membentuk pemahaman mendalam terhadap nilai kemanusiaan dalam profesion kejururawatan.
Menurutnya, nilai belas ihsan, rasa hormat dan empati terhadap pesakit menjadi antara elemen penting yang diterapkan oleh tenaga pengajar bagi membentuk jururawat bukan sahaja cekap dari segi kemahiran, malah memiliki nilai kemanusiaan dan rasa tanggungjawab tinggi dalam menjalankan tugas.
“Terima kasih kepada pensyarah, jurulatih klinikal serta keluarga atas bimbingan dan sokongan berterusan sepanjang tempoh pengajian.
“Semoga kita terus berkembang, berbakti dan membawa perubahan positif, satu pesakit pada satu masa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

