MELAKA TAMPIL PENGAYUH BECA DENGAN IMEJ PROFESIONAL, JADI DUTA PELANCONGAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DUYONG 25 November – Seramai 311 pengayuh beca di Melaka menerima Lesen Pengayuh Beca Negeri Melaka bagi 2027 selepas melepasi proses temu duga dan saringan kesihatan yang ditetapkan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program pembaharuan lesen itu bertujuan memastikan semua beca beroperasi di kawasan bandar memiliki lesen sah serta mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Abdul Razak berkata, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) turut bertanggungjawab dalam memastikan operasi perkhidmatan beca sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan, kesihatan dan undang-undang sedia ada.

“Usaha ini penting bagi meningkatkan profesionalisme, imej serta sahsiah pengayuh beca yang menjadi antara tarikan pelancongan ikonik Melaka.

“Sebagai duta kecil pelancongan di negeri bersejarah ini, besarlah harapan saya agar semua pengayuh beca dapat mengetengahkan serta mempromosikan tempat-tempat menarik di Melaka kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengayuh Beca Negeri Melaka 2026 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad dan Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Katanya, hubungan baik antara Kerajaan Negeri, MBMB, persatuan serta komuniti pengayuh beca juga perlu terus diperkukuh bagi memastikan kelestarian perkhidmatan warisan itu demi kepentingan bersama.

“Saya berharap MBMB sentiasa cakna dan prihatin terhadap keperluan serta kebajikan komuniti pengayuh beca.

“Selain turut mengambil kira perkhidmatan ini bukan sahaja warisan yang perlu dipelihara tetapi menjadi sumber pendapatan dan kelangsungan hidup sebahagian masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKUKUH PELANCONGAN KESIHATAN, TEROKA HAB PERUBATAN TRADISIONAL