BUKAN SEKADAR DENGAR ADUAN, ABDUL HAKIM TURUN PADANG CARI PENYELESAIAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

LENDU 29 November – Usaha memastikan persekitaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu sentiasa bersih, ceria dan selamat terus diberi perhatian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menerusi kerjasama erat bersama agensi berkaitan.

Katanya, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan agensi berkaitan yang lain memberikan kerjasama amat baik dalam melaksanakan tindakan susulan terhadap aduan penduduk, malah setiap isu yang dibangkitkan diberikan perhatian sewajarnya.

Menurutnya, beliau mengambil pendekatan turun padang bersama wakil Japerun bagi meninjau sendiri lokasi yang memerlukan perhatian berdasarkan aduan diterima.

“Jika jadual kosong dan tiada urusan rasmi, saya bersama-sama wakil Japerun turun padang untuk meninjau lokasi sekitar Lendu berdasarkan aduan yang kami terima.

“Saya selesa turun padang untuk lihat sendiri depan mata kerana lebih jelas apa yang perlu diberi perhatian dan tindakan susulan. Paling penting, kesejahteraan warga Lendu terus dijaga. Insya-Allah, kami teliti aduan yang diterima satu demi satu,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Abdul Hakim yang juga Timbalan Exco Agama, Pembangunan Usahawan dan Kos Sara Hidup negeri berkata, antara tindakan yang sudah dilaksanakan termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan bersemak sekitar pekan Lendu.

Selain itu, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan apabila beliau turun padang meninjau keadaan lubang besar berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba yang dikhuatiri boleh mengundang risiko kemalangan sekiranya tidak diberikan perhatian.

Beliau turut meninjau keadaan pagar rosak di tepi longkang di pekan Lendu yang memerlukan tindakan pembaikan segera.

“Alhamdulillah, MPAG tidak menunggu lama untuk melaksanakan kerja-kerja membaiki kerosakan berkenaan. Semua ini antara aspek yang perlu diberikan perhatian oleh saya sebagai ADUN kawasan. Keselamatan warga Lendu adalah keutamaan saya,” katanya.

“Diharapkan kerjasama antara Japerun dan agensi berkaitan akan berterusan, dalam memastikan setiap aduan penduduk ditangani dengan lebih berkesan demi mewujudkan persekitaran yang selesa, bersih dan selamat untuk seluruh warga Lendu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post TOK RAUF LUANG MASA SARAPAN BERSAMA RAKYAT