
NAIK TARAF PADANG, GELANGGANG SUKAN JADI FOKUS NADARAJAH
SERI NEGERI 29 November – Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf kemudahan sukan di peringkat akar umbi, termasuk membaik pulih padang bola sepak dan memasang pagar di gelanggang sepak takraw bagi memastikan keselamatan pengguna.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, S. Nadarajah berkata, keadaan padang di Kampung Gadek antara isu yang sering dibangkitkan penduduk kepadanya sejak sebelum dan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Katanya, Kampung Gadek mempunyai dua padang, namun salah sebuah daripadanya yang dilengkapi tempat duduk penonton tidak dapat digunakan buat masa ini berikutan keadaan tanah dan strukturnya yang kurang memuaskan.
“Kita mempunyai dua padang di Kampung Gadek dan salah satunya dilengkapi kapasiti tempat duduk, namun ia tidak dapat digunakan buat masa ini kerana kualiti serta struktur tanahnya kurang baik.
“Justeru, kita akan berusaha membaik pulih padang tersebut agar dapat dimanfaatkan semula oleh masyarakat dan anak muda setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, hasil tinjauan di lapangan turut mendapati sebuah gelanggang sepak takraw berada dalam keadaan baik, namun kawasan sekelilingnya yang dipenuhi semak dan hutan menimbulkan risiko kepada pemain.
“Gelanggang itu sebenarnya cantik, tetapi apabila mereka bermain, bola sering masuk ke dalam semak sehingga pemain takut untuk mengambilnya kerana bimbang dipatuk ular atau berdepan ancaman lain.
“Jadi, kemudahan seperti ini perlu dipasang pagar segera demi keselamatan mereka,” katanya.
Mengulas penglibatan belia dalam aktiviti sukan, Nadarajah berkata, pengalamannya mendekati masyarakat luar bandar selepas menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek memberikan perspektif berbeza mengenai minat golongan muda terhadap aktiviti berkenaan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian beliau, kira-kira 50 hingga 60 peratus penduduk, khususnya golongan belia di kawasan itu, menunjukkan minat terhadap sukan.
“Apabila saya mendekati Gadek, saya melihat lebih 50 hingga 60 peratus penduduk khususnya golongan belia sangat meminati sukan.
“Segala permintaan untuk membaik pulih padang, gelanggang sepak takraw dan dewan semuanya datang daripada kalangan belia sendiri, membuktikan mereka memang mempunyai minat tinggi dan akan lebih ramai turun bersukan apabila fasiliti ditambah baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


