‘PUTERA PUTERI DONDANG SAYANG X CABARAN ZAPIN’ HIDUPKAN WARISAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 28 November – Penganjuran Program Putera Puteri Dondang Sayang X Cabaran Zapin berpotensi menjadi antara pengisian pelancongan berasaskan seni dan budaya untuk menggamit lebih ramai pengunjung serta pelawat ke Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, program itu bukan sahaja memperkenalkan keunikan warisan seni tradisional Melaka, malah menjadi medan generasi muda mencungkil bakat dalam seni budaya tersebut.

Katanya, selain menjadi aktiviti menarik kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini, program itu juga menjadi wadah menarik sokongan sektor swasta menerusi tajaan dan kerjasama penganjuran bagi membantu Kerajaan Negeri memperbanyakkan aktiviti pelancongan.

“Selain menjadi pentas anak-anak muda mencungkil bakat, saya juga amat mengalu-alukan semangat syarikat-syarikat swasta untuk membantu Kerajaan Negeri dalam memperkasakan lagi bidang pelancongan.

“Mungkin selepas ini kita akan fikirkan bagaimana lebih banyak program lain boleh dianjurkan dengan penglibatan syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penutup Putera Puteri Dondang Sayang X Cabaran Zapin di Dataran Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Halil Mohamed Jaafar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, program anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka itu mampu menghidupkan suasana sekitar Dataran Menara Taming Sari, sekali gus menjadikannya lebih meriah khususnya pada setiap hujung minggu.

“Pendekatan memperbanyakkan program seni dan budaya perlu diteruskan bagi menawarkan pengalaman pelancongan lebih pelbagai kepada pengunjung yang datang ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS SOKONGAN KELUARGA, INSENTIF BAHARU MENANTI 2027
Next post UNIMEL KEKAL PILIHAN MAJIKAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT