Seramai 246 individu ditahan ingkar SOP
KUALA LUMPUR 5 Mac. – Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 73,659 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 3,495 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,365 anggota telah membuat pemantauan di 6,335 buah restoran, pasar raya (4,621) dan bank (3,972).
“Selain itu pemantauan dibuat ke atas 2,900 penjaja, pasar awam/tani (2,488), kilang (1,803) dan pejabat kerajaan (1,117).
“Turut dipantau tempat ibadah (3,562), tempat riadah (1,593), terminal pengangkutan darat (1,372), terminal pengangkutan air (301) dan terminal pengangkutan udara (126),” katanyadalam kenyataan berkenaan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Menurutnya, menerusi pemeriksaan itu seramai 246 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 234 dikompaun manakala 12 lagi individu direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan atau merekod diri atau pelanggan (94), tidak memakai pelitup muka (55), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (37).
“Tiada penjarakan fizikal (29) aktiviti Pusat Hiburan (16), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (13) dan lain-lain (2),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.