‘Ngauman’ Ysuku di IPK

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER MOLEK 5 Mac. – Seorang mekanik ‘berputih mata’ selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang diubah suai termasuk ekzos sehingga mampu mengeluarkan pelbagai bunyi termasuk api dengan kos lebih RM20,000 disita polis, hari ini.

Pemuda berusia 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri di Ayer Molek, ketika melintas di hadapan beberapa anggota polis yang sedang melakukan rondaan operasi khas.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas motosikal itu, sebanyak sembilan saman dikeluarkan bernilai RM2,700.

HASAN Basri menguji bunyi ekzos motosikal Ysuku yang mampu menghasilkan pelbagai mod bunyi termasuk bunyi kuda.

Beliau berkata, motosikal Ysuku itu adalah yang pertama dikesan diubah suai dan mampu mengeluarkan mod pelbagai bunyi termasuk bunyi kuda menggunakan aplikasi ciptaan sendiri.

“Motosikal ini antara 24 yang disita dalam beberapa operasi Op Bunyi Bising yang dijalankan sejak 1 Mac lalu.

“Selain itu sejumlah 912 motosikal diperiksa dan hasilnya 825 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk ubah suai ekzos dan nombor pendaftaran dikeluarkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Hasan Basri berkata, operasi itu akan dilakukan secara berterusan dan kawasan kampung juga akan dipantau.

Sementara itu, pemuda terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Dani berkata, dia mengambil masa kira- kira tiga bulan untuk membuat aplikasi itu yang turut mampu menambah kelajuan hasil pengalaman sebagai mekanik dan rujukan daripada YouTube serta kemahiran ketika waktu belajar dulu.

“Ubah suai membabitkan kos kira-kira RM20,500 dan motosikal itu dibeli dengan harga RM10,000.

“Perisian yang saya buat ini juga dijual kepada ‘kaki motor’ lain dengan harga lingkungan RM600,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

917
Kongsi :
Previous post Pencemaran sungai: SWCorp mohon maaf
Next post Seramai 246 individu ditahan ingkar SOP
Ubah saiz-+=