Pencemaran sungai: SWCorp mohon maaf

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mac. – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka mewakili Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) tampil membuat permohonan maaf kepada penduduk yang terkesan dengan pencemaran sungai dan sawah padi di sekitar Sungai Udang dan kawasan sekitar dalam kejadian Februari dan Mei tahun lalu.

Pengarahnya Khairuladha Ab Mutalib berkata, masalah itu berlaku berikutan terdapat kebocoran pada salah satu sel di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang, selain disebabkan oleh mendakan atau keladak di kolam mendakan hingga menyebabkan air larut resap terlepas ke sungai berhampiran.

Bagaimanapun, ujarnya, masalah itu diatasi segera pada tahun yang sama hasil kerja-kerja pembaikan yang dijalankan.

“Antara penyelesaian yang kita lakukan ialah membina satu sistem saliran khas untuk air larut resap terawat di takat pelepasan akhir, Loji Rawatan Air Leachate Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang, selain membuat proses pembersihan dan penyelenggaraan keladak secara berkala di kolam mendakan bagi mengatasi masalah pencemaran itu.

“Selain itu pihak syarikat pelupusan sisa pepejal tersebut iaitu Greenviro Solution Sdn Bhd juga telah mengadakan pertemuan dengan penduduk setempat bagi menjelaskan keadaan sebenar dan turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai serta merta,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat SWCorp di Bangunan Graha Maju, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebuah syarikat pelupusan sisa pepejal dikompaun RM10,000 oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) atas kesalahan melepaskan air larut resap ke dalam Sungai Ayer Batu di Sungai Udang yang memberi kesan kepada petani, pesawah dan penternak di sekitar Sungai Udang dan Bukit Rambai.

Khairuladha berkata, Greenviro Solution Sdn Bhd selaku syarikat yang dipertanggungjawabkan di atas kejadian berkenaan telah menjelaskan kompaun berkenaan pada 1 Mac lalu.

Menurutnya lagi, pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan masalah sama tidak akan berulang di masa akan datang.

“Pihak SWCorp Melaka ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Datuk Seri Utama Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan yang sentiasa menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap permasalahan rakyat.

“Tidak dilupakan juga kepada agensi yang terlibat sama dalam pengurusan krisis pencemaran iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), BKSA dan lain-lain yang bersama-sama membantu menyelesaikan perkara ini secara keseluruhan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

799
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19 diluluskan NPRA, Rakyat tidak perlu khuatir- Muhyiddin
Next post ‘Ngauman’ Ysuku di IPK
Ubah saiz-+=