Berhenti minta anak saya ! – Siti Azimah

Masa Membaca:2 Minit, 58 Saat

BUKIT RAMBAI 30 Jun – “Jangan pisahkan saya dan anak-anak, tidak mungkin saya akan beri anak saya pada orang lain, biar keadaan mendesak sekali pun saya tidak akan pisahkan mereka adik-beradik,” kata Siti Azimah Tajudin yang kehilangan suami pada hari yang sama dia melahirkan anak di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Siti Azimah, 31, yang kini tinggal di rumah abang sulungnya di Taman Rambai Indah berkata, tujuh anaknya yang berusia 11 hari hingga 12 tahun adalah sumber kekuatan dirinya untuk meneruskan kehidupan setelah kematian suami tersayang, Shahrol Amri Sanusi, 31, akibat serangan jantung.

Menurutnya, dia akan menggunakan seluruh kudratnya untuk membesarkan anak-anak dan memastikan mereka menjalani kehidupan yang sebaiknya sehingga dia mencapai hujung usia.

SITI Azimah.

“Jika suami ada, dia pasti kecewa jika saya pisahkan anak-anak kerana beri pada orang lain, tidak mungkin perkara yang sedemikian, biarlah susah macam mana pun, semua anak-anak ada depan mata saya,” katanya ketika ditemui pada kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md. Rawi Mahmud.

Siti Azimah adalah anak ketiga daripada empat beradik dan akibat perpisahan kedua ibu bapa serta kesempitan hidup, dua daripada adik-beradiknya diletakkan di bawah jagaan pertubuhan bukan kerajaan, manakala dia ketika itu berusia setahun setengah dan abang sulungnya dipelihara oleh neneknya di Bachok, Kelantan.

Dia mendirikan rumah tangga ketika berusia 19 tahun dan dikurniakan tujuh cahaya mata, empat lelaki dan tiga perempuan, Mohamad Shahrizal, 12; Siti Nur Balqis, 10; Muhammad Denish Qayyum, 8; Muhammad Fiyrash, 5; Siti Nur Airis, 3, Muhammad Hamzah Ramadan, 1 tahun dan Siti Nur Aisyatul Humaira berusia 11 hari.

LATIPAH (dua dari kiri) dan Md.Rawi  (kiri) bergambar bersama Siti Azimah dan tujuh orang anaknya di rumah sewanya di Taman Rambai Indah.

Menurut Siti Azimah, ketiadaan arwah suami sejak beberapa minggu lalu sering ditangisi oleh dua anaknya, Siti Nur Airis dan Muhammad Hamzah memandangkan hubungan mereka amat rapat.

“Seperti malam kelmarin, Siti Nur Airis minta saya buka pintu dapur dan beritahu abah dia sudah balik. Saya tidak mampu nak terangkan pada anak-anak tentang kematian bapa mereka kerana mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa,” katanya.

Katanya, dia menerima ketentuan ilahi dengan hati terbuka dan reda selain percaya setiap perkara berlaku ada hikmahnya.

Sementara itu, menurut Latipah, MAIM akan menampung sebahagian sewa bulanan rumah didiami Siti Azimah dan abang sulungnya, Azli iaitu RM750 sebulan.

Katanya, Azli,35, juga mempunyai tanggungan isteri dan dua anak, tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai penjual keropok lekor di sekitar Bukit Rambai.

“Selain membantu membayar sebahagian sewa rumah sekarang iaitu RM450, MAIM juga menyalurkan bantuan makanan RM200 sebulan, persediaan menyambut perayaan RM200 dan tiga anak Siti Azimah yang bersekolah akan menerima bantuan RM150 sebulan.

“Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan Bantuan Bulanan Kanak-Kanak (BKK) kepada ketujuh-tujuh anak Siti Azimah selain memantau dari semasa ke semasa keperluan keluarga ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa badan korporat dan swasta di seluruh negara tampil membantu meringankan beban hidup wanita tersebut terutama dalam membesarkan tujuh anaknya bersendirian.

“Inilah peluang dan masa tepat kepada mana-mana pihak yang berhajat untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat mereka untuk golongan yang memerlukan seperti Siti Azimah ini yang memerlukan bantuan bulanan iaitu susu dan lampin buat bayi yang baharu dilahirkan,” katanya.

Mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkan bantuan kepada Siti Azimah ke akaun CIMB 7065548933 Siti Azimah Tajudin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1768
Kongsi :
Previous post Vaksin: Penggiat pelancongan Melaka tak boleh tunggu lama
Next post Sempat pesan anak jangan nakal dan dengar kata datuk dan nenek
Ubah saiz-+=