Sempat pesan anak jangan nakal dan dengar kata datuk dan nenek

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LINGGI 30 Jun – Seorang bapa sempat berpesan kepada dua anaknya berusia empat dan lapan tahun supaya tidak nakal dan sentiasa patuh kepada datuk dan nenek sebelum dia terbunuh dalam kemalangan jalan raya, petang semalam.

Allahyarham Mohd Harkam Harun, 40, memberikan nasihat itu ketika mengucup pipi Iziad dan Izaril sebelum keluar rumah di kediaman bapa mentuanya, Solehi Hassan, 61, di Kampung Ayer Molek, Masjid Tanah di sini semalam.

 

Solehi Hassan.

Solehi berkata, beliau juga tidak menyangka makan tengah hari yang dinikmatinya bersama-sama menantunya semalam adalah yang terakhir sebelum arwah meninggal dunia dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Brisu-Simpang Ampat, Alor Gajah.

Katanya, ketika menjamu selera kira-kira jam 1 tengah hari, arwah Mohd Harkam yang bekerja sebagai pemandu forklift di gudang dekat Krubong, memberitahu dia ingin ke Kampung Brisu, Alor Gajah untuk bertemu rakannya.

“Saya dan isteri menjaga dua anak lelaki arwah berusia empat dan lapan tahun setiap kali arwah dan isterinya, Safrina, 38, keluar
bekerja tetapi semalam arwah tidak kerja, jadi dia datang makan tengah hari di rumah kami.

“Arwah berselera makan masakan ibu mentuanya tetapi itulah rezekinya yang terakhir sebelum dia keluar rumah menaiki motosikal untuk ke rumah kawannya kira-kira jam 3 petang,” katanya ketika ditemui pada pengebumian jenazah arwah Mohd Harkam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Molek, di sini hari ini.

Solehi berkata, arwah yang juga menantu pertamanya berasal dari Kampung Padang Kemunting, Pengkalan Balak dan anggota
keluarganya tinggal di Taman Rebana Jerneh, kira-kira tiga kilometer dari Kampung Ayer Molek.

Solehi berkata, dia amat terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan menantunya pada jam 4 petang semalam yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan itu.

KEADAAN motosikal mangsa yang terperosok dl bawah treler di lokasi kejadian. Foto – PDRM.

“Saya terus ke Hospital Alor Gajah untuk melihat keadaannya tetapi sebaik tiba, kami dimaklumkan arwah sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan ketika jenazah arwah dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tetapi isteri arwah tidak kelihatan kerana berada di rumah berikutan terlalu sedih.

ARTIKEL BERKAITAN: Terperosok bawah treler

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1373
Kongsi :
Previous post Berhenti minta anak saya ! – Siti Azimah
Next post Warga emas komited didik cucu gali kubur
Ubah saiz-+=