Warga emas komited didik cucu gali kubur

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

KUALA LINGGI 30 Jun – llmu dan teknik menggali kubur tidak boleh diperoleh melalui buku, sebaliknya melalui ilmu yang diturunkan secara praktikal.

Itu yang dipraktikkan warga emas berusia 71 tahun yang amat komited mendidik dua cucu lelakinya mengenai ilmu dan kaedah menggali kubur, terutama aspek pembuatan liang lahad secara sempurna.

Zubir Yaakob atau lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Unggal’ tidak mahu membiarkan cucunya, Faid Irfan Fadzlan, 19, dan Faris Ikram Azlan, 22, membuang masa dengan melayan alat komunikasi ketika melayari internet atau berkomunikasi melalui aplikasi yang melekakan.

ZUBIR (kiri sekali) menurunkan ilmu dan kemahiran menggali kubur kepada cucunya, Faris Ikram (dalam lubang kubur) dan Faid Irfan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Molek, Masjid Tanah.

Sebaliknya, dia ‘mengerah’ kedua-dua cucu itu supaya menggenggam erat batang cangkul untuk mengorek tanah keras di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Molek, di sini hari ini.

“Saya tidak berkenan melihat cucu leka dengan telefon bimbit, jadi saya ‘kerah’ mereka ikut saya gali kubur kerana mahu mendidik mereka supaya jangan pandang rendah kerja gali kubur.

“Kerja ini kerja mulia kerana ia adalah sebahagian daripada fardu kifayah kerana kalau bukan kita yang buat, siapa lagi yang hendak buat kerja ini,” katanya ketika ditemui tanah perkuburan itu.

Pak Unggal berkata, dia melakukan tugas berkenaan sejak berusia 15 tahun ketika membantu penggali kubur sebelumnya melaksanakan tugas fardu kifayah itu.

Katanya, aspek menggali kubur sedalam 1.52 meter dengan keluasan 0.9 meter menuntut penggali kubur memerah seluruh kudrat untuk memastikan tanah tidak runtuh dan mudah untuk dimasuki tiga waris si mati untuk menyambut jenazah ketika pengebumian.

ZUBIR menunjukkan kaedah mengukur liang lahad kepada Faris Ikram ketika menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Molek, Masjid Tanah.

“Untuk mengukur liang lahad, saya tunjukkan kepada mereka bagaimana saya sendiri yang mencuba masuk ke dalam lubang sempit itu untuk menentukan sama ada ia muat untuk jenazah atau sebaliknya,” katanya.

Faid yang masih menuntut di Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau, Negeri Sembilan berkata, dia beruntung kerana berpeluang menimba ilmu menggali kubur daripada datuknya dan menganggapnya sebagai warisan yang tidak ternilai.

“Bukan semua orang sanggup buat kerja ini kerana ada sesetengahnya menganggap ia kerja orang tidak berpelajaran tetapi saya menyifatkannya sebagai kerja mulia kerana dapat menimba pahala daripada amalan fardu kifayah,” katanya.

Faris yang baharu menamatkan pengajian di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Alor Gajah berkata, ketika mengorek kubur, terutama liang lahad, dia terbayang bagaimana jika dia sendiri yang berada dalam alam barzakh kelak.

“Dapat saya bayangkan bagaimana sepi berada dalam liang lahad dalam keadaan kita tiada teman kecuali amalan yang kita bawa untuk menempuh perjalanan abadi.

“Ketika berada dalam lubang kubur, saya tidak putus berdoa agar saya diberikan kematian dalam keadaan husnul khotimah dan diberikan kelegaan ruang yang luas oleh-NYa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3352
Kongsi :
Previous post Sempat pesan anak jangan nakal dan dengar kata datuk dan nenek
Next post COVID-19: Melaka catat tujuh kematian dua hari berturut-turut
Ubah saiz-+=