COVID-19: Melaka catat tujuh kematian dua hari berturut-turut

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Melaka merekodkan tujuh kematian akibat COVID-19 dua hari berturut-turut setakat semalam.

Menurut catatan di Facebook Jabatan Kesihatan negeri (JKN), tujuh kematian semalam membabitkan lima wanita dan dua lelaki berusia antara 40 hingga 85 tahun.

Enam daripada mereka mempunyai sejarah penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang kronik, manakala seorang tiada penyakit.

JKN melaporkan kesemua mereka mengalami gejala seperti demam, batuk, cirit-birit, batuk, muntah, lemah badan, kurang selera makan dan sesak nafas.

“Lima daripada mereka iaitu tiga wanita dan dua lelaki menetap di Daerah Melaka Tengah manakala dua lagi wanita masing-masing dari Jasin dan Alor Gajah,” menurut catatan itu.

Pada Selasa, tujuh kematian direkodkan membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia 58 hingga 80 tahun dengan kesemua mereka mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu darah tinggi, asma, kencing manis, kanser usus, penyakit jantung, strok dan kanser hidung.

Mereka juga mengalami gejala sama seperti demam, batuk, cirit-birit, lemah badan, kurang selera makan, selsema dan sesak nafas.

Sementara itu, sebanyak 223 kes baharu direkodkan semalam, iaitu 213 jangkitan tempatan, empat kes import dan enam penularan dalam kalangan banduan.

Melaka Tengah kekal merekodkan kes positif tertinggi dengan 179 kes diikuti Daerah Alor Gajah (25) dan Jasin (19).

Sebanyak 192 kes sembuh manakala 2,288 sedang dirawat dengan 89 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka dan 17 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

539
Kongsi :
Previous post Warga emas komited didik cucu gali kubur
Next post Maklum balas segera bukti pakej rangsangan ekonomi amat dinanti rakyat
Ubah saiz-+=