‘Ingatlah akhirat ketika jaga kebajikan rakyat’

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan nasib setiap rakyat di negeri ini dan tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan yang dalam kesusahan.

Exco Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda pelbagai inisiatif telah dijalankan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Jelasnya, antara bentuk bantuan yang diberikan termasuklah menyalurkan 1,000 kit makanan di kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan peruntukan sekitar RM2.8 juta.

Terbaharu katanya, bantuan inisiatif Musa’adah Muhaffaz ’Alamiy COVID-19 dan bantuan kit makanan di setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) turut diagihkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Selain itu, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat juga kita telah menyalurkan bantuan Bakul Makanan PERMAI (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia) yang memberi manfaat kepada 24,400 penerima.

“Di Melaka ini, kita memang sangat berbangga kerana dalam aspek kebajikan kita biasanya lebih mendahului negeri-negeri lain.

“Tiada timbul istilah pilih kasih atau terlepas pandang dan boleh dikatakan hampir kesemua masalah membabitkan kebajikan rakyat diselesaikan pada kadar segera,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya, di Seri Negeri.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri itu berkata, sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa tidak perlu segan untuk berhubung dengan wakil rakyat kawasan.

Meskipun ada segelintir golongan yang gemar menggunakan pendekatan tular di media sosial, namun baginya itu merupakan hak individu itu sendiri kerana di pihak kerajaan negeri, segala aduan dan maklumat mengenai kesusahan rakyat yang diterima akan cuba dibantu sedaya upaya.

“Jika ada pemimpin yang mengamalkan pemberian bantuan kepada konco dan kumpulan sendiri, saya nasihatkan ingatlah akhirat. Kita kena berlaku adil kepada semua orang terutama yang benar-benar berhak.

“Paling utama, ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab diberi. Setiap lapisan masyarakat juga perlu memainkan peranan agar sesiapa sahaja yang dalam kesusahan dapat dibantu sebaiknya,” katanya lagi.

Pada masa sama, Latipah turut menggalakkan jawatankuasa masjid dan surau serta badan-badan korporat untuk turut sama membantu sehingga pandemik COVID-19 berakhir.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post Tiga warga asing ditahan bantu siasatan video tular gaduh di asrama pekerja
Next post Wanita ditemukan rentung dalam kebakaran kereta
Ubah saiz-+=