FDAM mahu kepimpinan FINAS dirombak

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mahu kerajaan merombak kepimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memacu kemajuan industri kreatif negara.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu bagi memperkemas hala tuju FINAS dengan wawasan dan pendekatan yang lebih dinamik.

“FDAM berpandangan kepimpinan FINAS harus dirombak dengan meletakkan individu yang lebih berkebolehan sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

“Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perlu dikembalikan kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Beliau berkata, peranan persatuan seni kreatif ini adalah teras pembangunan industri perfileman.

“Di mana FDAM, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) harus diperkasakan.

“Wakil persatuan seni kreatif perlu dilantik dalam BOD FINAS dan calon-calon mestilah individu yang tiada kepentingan perniagaan yang berkaitan perfileman,” jelasnya.

Katanya, FDAM mengharapkan menerusi perubahan dan rombakan itu dapat membantu pembangunan industri kreatif dengan lebih berdaya saing dan membawa Malaysia gah di persada antarabangsa.

Dalam kenyataan sama, Ahmad turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Annuar Musa atas pelantikan sebagai Menteri Komunikasi Dan Multimedia.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin yang dilantik semula bagi portfolio sama.

“FDAM mengharapkan gandingan dua tokoh politik ini lebih mesra dan prihatin terhadap persatuan seni kreatif dan pengiat seni.

“Ramai penggiat seni daif ketika ini kerana tidak dapat bekerja akibat sektor penggambaran tidak dibuka sepenuhnya.

“FDAM berharap nasib penggiat seni dapat diberi perhatian segera agar golongan ini kembali bekerja,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

672
Kongsi :
Previous post Kes baharu COVID-19 berkurangan lebih 2,500 kes berbanding semalam
Next post 19 kawasan di Masjid Tanah berdepan 15 jam gangguan air
Ubah saiz-+=