MUFC sedia cabar kejuaraan Liga Super musim depan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) melaungkan amaran awal sedia mencabar kejuaraan Liga Super musim depan selepas menjamin tempat untuk saingan liga kompetitif itu minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat berkata, pihaknya kini sedang merangka persiapan kelab dengan menetapkan beberapa perancangan dalam misi menjadikan skuad Hang Tuah lebih kompetitif.

Katanya, cabaran pertama untuk pasukan selepas ini ialah memberikan kejutan dalam saingan Piala Malaysia tidak lama lagi.

“Kita sedar Melaka United tidak lagi muncul sebagai pasukan pencabar kejuaraan dalam saingan bola sepak domestik seperti saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA sejak kali terakhir muncul Juara Liga Premier pada 2016.

“Kini sudah tiba masanya untuk kemunculan semula Skuad Hang Tuah yang lebih berdaya saing dan kompetitif.

“Saya percaya pasukan ini mampu mendapatkan tempat terbaik dalam Liga Super (musim depan) serta memberikan saingan dan mendapat keputusan positif di Piala Malaysia 2021 kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

JUSTIN memberikan jersi MUFC kepada Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Football League (MFL) Christopher Raj Aralanthu sewaktu turun menyaksikan aksi MUFC menentang Perak FC di Stadium Hang Jebat, minggu lalu. (FOTO: MUFC)

Mengulas lanjut, Justin memaklumkan, bagi mengelakkan skrip sama berulang membabitkan Melaka United, pihaknya akan melakukan beberapa penambah baikan drastik untuk memacu kelab itu ke tahap lebih baik.

Menurutnya, antara yang akan dilakukan termasuklah membawa masuk pemain import dan tempatan yang berkualiti di setiap posisi.

“Kami juga berhasrat mengeluarkan sejumlah peruntukan khusus bagi menaik taraf pasukan antaranya menambah baik fasiliti latihan pasukan termasuk peralatan latihan dan sebagainya.

“Pada masa sama, MUFC juga sedang mengadakan perbincangan bersama rakan kerjasama serta pelabur berpotensi yang percaya dan ingin bersama-sama memajukan kelab ini,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak khususnya penyokong setia bola sepak Melaka dan rakyat negeri ini agar dapat menjadi ‘tulang belakang’ buat pasukan.

“Langkah-langkah ini bukan sahaja bagi menaikkan semula nama Melaka United dalam kancah bolasepak tempatan malah ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post Anak tunggu ayah…yang tiba hanya van jenazah
Next post Etnik Rohingya tidak dipinggirkan terima vaksin
Ubah saiz-+=