Etnik Rohingya tidak dipinggirkan terima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Sept – Etnik Rohingya di negeri ini bersyukur dan berpuas hati di atas keprihatinan kerajaan kerana memberi peluang mereka mendapatkan suntikan vaksin demi melindungi diri daripada pandemik COVID-19.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati pemberian vaksin kepada warga asing semakin diperluaskan, malah difahamkan terdapat lokasi khas dijadikan pusat vaksinasi berpusat sementara supaya tidak ada seorang pun etnik terbabit tercicir divaksin.

Ketua Komuniti etnik berkenaan, Jamal Husin Nabil Husin,30, meluahkan rasa syukur di atas keprihatinan kerajaan yang tidak meminggirkan mereka untuk suntikan vaksinasi.

Jelasnya, program yang diperluaskan itu merekodkan hampir 80 peratus daripada 3,000 komuniti Rohingya di Melaka sudah menerima suntikan vaksin dos pertama.

JAMAL.

“Alhamdulillah, semua urusan menerima vaksin dipermudahkan kerana sesetengah kami menerima panggilan janji temu menerusi MySejahtera, malah ada yang datang secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerima layanan memuaskan.

“Malah, ada juga yang datang tanpa janji temu turut menerima vaksin dengan hanya menunjukkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Bagi kami vaksin dalam tempoh ini memang satu keperluan kerana ia penting bagi kami untuk meneruskan kehidupan dalam waktu sulit ini biarpun kami kehilangan pekerjaan kesihatan pula perlu tetap terus dijaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, seorang lagi etnik terbabit yang menetap di Pengkalan Rama, Robi Alam Basamiah,23, berkata dia lega apabila sudah menerima suntikan vaksin sekali gus memudahkan urusan perjalanan dan gerak kerja sehariannya.

ROBI.

“Alhamdulillah kebanyakan kami menerima manfaat yang sama dan hampir kesemuanya telah menerima suntikan dos pertama dalam program vaksinasi ini.

“Kerajaan Malaysia banyak membantu warga kami agar tidak terus dipinggirkan dan ini memudahkan kami untuk bekerja nanti kerana tidak lama lagi lebih banyak sektor terutama pelancongan akan dibuka, ini akan menambahkan lagi keselamatan kesihatan dalam sesebuah komuniti,” katanya.

Untuk rekod, etnik Rohingya di Melaka meliputi kawasan Pengkalan Rama, Peringgit, Pantai Peringgit, Bachang, Limbongan, Masjid Tanah, Alai, Telok Mas, Umbai, Serkam dan Merlimau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

710
Kongsi :
Previous post MUFC sedia cabar kejuaraan Liga Super musim depan
Next post Tiga faktor punca kenaikan harga ayam
Ubah saiz-+=