Tiga faktor punca kenaikan harga ayam

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 9 Sept – Peningkatan harga ayam segar pada minggu ini dikaitkan atas tiga faktor seperti kenaikan harga dedak, kos membeli anak ayam serta kekurangan pekerja asing.

Pengusaha ladang ternakan ayam di Alor Gajah, Datuk Jeffrey Ng berkata, itu antara masalah yang terpaksa ditanggung penternak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Masa awal PKP orang tak mahu beli ayam sehinggakan saya terpaksa jual RM1.70 sekilogram sedangkan kos seekor ayam ini lebih RM4 dan saya terpaksa tanggung kerugian.

“Nak cakap harga dedak naik memang betul…dulu saya beli satu beg 50 kilogram RM90, tapi sekarang mencecah RM120 satu beg. Harga anak ayam pun dulu seekor baru RM1.20 tapi sekarang RM2.10.

“Bila semua naik harga, harga ayam pun akan naik ditambah pula pekerja asing kurang sebab ada yang tak balik Malaysia masa PKP, orang tempatan pula ‘demand’ gaji, bayar RM1,800 ke RM2,000 pun dia tak nak kerja,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jeffrey berkata faktor cuaca juga menyumbang kepada faktor tumbesaran ayam yang perlu mencapai sekitar 2.3 kilogram seekor dalam masa 35 hari.

“Kadang-kadang cuaca tak baik menyebabkan ayam tak sihat, kualiti dedak pun salah satu punca. Seekor ayam sepatutnya dalam masa 35 hari mencecah berat 2.3 kilogram tapi sekarang tak sampai dua kilogram.

“Bila berat ayam kurang, pemborong tak mahu beli dan saya terpaksa jual murah ditambah pula dedak ayam semua kita ‘import’ dari luar Malaysia,” katanya.

Semalam MHI melaporkan terdapat kenaikan harga ayam yang mencecah RM9.80 sekilogram, manakala yang termurah adalah RM5.99.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri telah mengeluarkan notis untuk menyiasat punca kenaikan harga pasaran ayam yang tidak menentu di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2583
Kongsi :
Previous post Etnik Rohingya tidak dipinggirkan terima vaksin
Next post Polis wanita patah jari manis dilanggar remaja lari SJR
Ubah saiz-+=