300 jemaah hadir sambutan Maal Hijrah di Masjid Al-Azim

Masa Membaca:56 Saat

BUKIT BARU 20 Ogos – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam menghadiri majlis kesyukuran sempena sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah peringkat negeri bersama kira-kira 300 jemaah di Masjid Al-Azim di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman.

Turut hadir Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat.

Acara sambutan agak berbeza tahun ini kerana semua jemaah menunaikan solat mengikut amalan norma baharu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik Covid-19.

Majlis kesyukuran dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1441 Hijrah yang dibacakan Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohamad Hashim Al Hafiz sebelum beliau mengimamkan solat Maghrib dan kemudian disusuli bacaan doa akhir tahun 1442 Hijrah.

Seterusnya, beliau turut mengetuai bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa kesyukuran.

Selesai solat Isyak, semua jemaah menikmati jamuan makan yang dihidangkan di perkarangan masjid.

Views:

507
Kongsi :
Previous post Karnival Penjana Kerjaya Perkeso: 1,073 pemohon ditawarkan pekerjaan
Next post KPLB : Pendekkan tempoh pengajian bidang elektrik Giat Mara
Ubah saiz-+=