Cuaca: Agensi pelancongan, pelancong diminta waspada – Nancy

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Agensi pelancongan termasuk pengusaha tempat peranginan, diminta untuk lebih berwaspada dalam menguruskan pergerakan pelancong khususnya ke pulau-pulau, ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata orang ramai yang ingin melancong juga diminta untuk lebih peka dengan perubahan keadaan cuaca berdasarkan ramalan cuaca yang dimaklumkan pihak berkuasa.

“Saya harap pihak agensi pelancongan lebih berhati-hati sebelum membawa pelanggan kerana ada yang membawa anak kecil.Macam kejadian di Pulau Perhentian, saya risau malam tadi, syukur pagi ini mereka semua telah selamat dibawa keluar dari pulau kerana cuaca beransur baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Kalendar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Tahun 2022 dan Kemuncak Festival World Arts Education and Culture Events (WAVE) 2021 di sini, hari ini bagi mengulas kejadian 385 pelancong terkandas di Pulau Perhentian, Terengganu sejak Jumaat lepas berikutan keadaan laut bergelora dan angin kencang.

Terdahulu Nancy dalam ucapannya berkata pemerkasaan jaringan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan kebudayaan memainkan peranan penting dalam melonjakkan imej serta visibiliti negara di persada antarabangsa.

“Penganjuran WAVE 2021 yang merupakan satu lagi kejayaan MOTAC menerusi ASWARA, menjadi pendorong untuk kita menggandakan komitmen ke arah tahun 2022 yang lebih progresif.

“Acara antarabangsa secara dalam talian ini telah mengukir nama Malaysia ke peringkat antarabangsa, antara kejayaan program dan aktiviti di bawah program WAVE ialah program ‘Main Zapin ASWARA 2021’ (ASEAN) yang melibatkan penyertaan negara seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan Malaysia, yang menjadi tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 162 program telah dirancang dan disusun secara fizikal mahupun secara dalam talian tahun ini.

Pada majlis sama, Nancy turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) ASWARA dan Institut Pengajlan Dakwah Sabah serta memorandum perjanjian (MoA) ASWARA dan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3680
Kongsi :
Previous post Remaja 15 tahun korban pertama banjir di Terengganu
Next post Kemudahan akses buat OKU dapat bantu tingkat kualiti hidup – Ras Adiba
Ubah saiz-+=