Melaka bersedia jika berlaku peningkatan kes COVID-19 – Dr Muhamad Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MERLIMAU 5 Mei – Peningkatan kes COVID-19 di negeri ini sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Melaka dijangka akan membabitkan kategori satu dan dua.

EXCO Kesihatan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada peratusan vaksinasi lengkap termasuk dos penggalak rakyat Melaka yang antara tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan Melaka juga sudah bersedia dengan pelan mitigasi jika berlaku peningkatan kes seperti mewujudkan hospital kluster COVID-19 yang sudah diumumkan sebelum ini.

“Setakat ini tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang Melaka masih lagi tinggi.

“Hari ini (semalam) cuma setakat 20 kes dan tiada kematian, kurang lima peratus kes dirujuk ke unit rawatan rapi (ICU) ini satu perkara yang baik InsyaAllah diharapkan semua ini berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, di sini, malam tadi.

Sebelum ini Dr Muhamad Akmal mengumumkan hospital kluster COVID-19 akan dibuka di negeri ini sekiranya jangkitan COVID-19 kembali meningkat selepas Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, pembukaan hospital kluster itu merupakan antara pelan sandaran yang disediakan bagi menghadapi apa jua kemungkinan mendatang selepas Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di MITC ditutup secara rasmi pada 30 April.

Salah satu daripada hospital daerah iaitu sama ada Hospital Jasin atau Hospital Alor Gajah akan dicadangkan untuk dijadikan hospital kluster tersebut, namun ia bergantung kepada peningkatan kes COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post Terima kasih ‘abang trafik’
Next post Orang Merlimau puas dapat beraya
Ubah saiz-+=