Muhyiddin luang masa bersama warga peladang, penternak dan nelayan di Beaufort

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BEAUFORT 17 Sept. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa bersama warga peladang, penternak dan nelayan Sabah di Dataran Bagandang, di sini, kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu.

Muhyiddin, yang tiba jam 9.45 pagi sambil memakai pelitup muka, melambaikan tangan kepada hadirin yang turut menjaga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 termasuk penjarakan fizikal.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dua timbalannya Datuk Seri Ahmad Hamzah, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Muhyiddin dijangka akan melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit Huma pada acara ini, yang antara lain memberi bantuan berupa geran, elaun, skim ternakan, dan zakat kepada golongan peladang, penternak dan nelayan yang layak dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.

Skim ini melibatkan agensi seperti  Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agrobank.

Elaun sara hidup itu termasuk dalam skim yang dilancarkan itu memanfaatkan seramai 7,581 nelayan di Sabah.

Skim itu juga meliputi Insentif Skim Rezeki Ternak dengan peruntukan sebanyak RM1.73 juta yang akan memanfaatkan penternak ruminan dan penternak unggas berskala kecil dan sederhana.

Geran Agropreneur Muda dengan peruntukan sebanyak RM2.94 juta pula akan memberi manfaat kepada 182 usahawan dan Insentif Projek Pembangunan Industri Kopi dengan peruntukan RM556,000.

Muhyiddin berkata kerajaan mendengar dan memahami kesusahan golongan nelayan, penternak dan petani khasnya ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Saya  mendengar dan memahami kesukaran hidup golongan nelayan dalam berdepan saat-saat sukar negara menghadapi wabak COVID-19. Saya berharap kenaikan elaun ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang dihadapi,” katanya.

-BERNAMA

Views:

229
Kongsi :
Previous post Warga Paya Rumput bakal dapat gelanggang futsal baharu
Next post Trend salah guna dadah meningkat saban tahun
Ubah saiz-+=