Infineon Technologies bukti keyakinan pelaburan terus bertapak di Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 5 Julai – Pembesaran bangunan Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, mampu meningkatkan keyakinan pelaburan luar untuk menjalankan operasi mereka di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, syarikat bertapak di negeri ini hampir 50 tahun lalu itu merupakan yang terbesar di Malaysia meskipun turut beroperasi di dua lagi negeri lain.

Beliau berkata, Infineon Technologies secara tidak langsung membantu menarik pelbagai pelaburan baharu, sekali gus mengembangkan lagi penghasilan produk semi konduktor.

“Terima kasih kepada Infineon Technologies, kerana telah lama beroperasi di Melaka, jumlah pekerja pula seramai 10,000 orang merupakan yang terbesar sekali dalam menggajikan pekerja terutama yang berasal dari Melaka.

“Meskipun turut beroperasi di Kulim, Kedah, tidak sama seperti Melaka, di sana ada lebih kurang 3,000 pekerja sahaja.

“Difahamkan 2,000 adalah dalam kalangan jurutera terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang hanya satu-satunya beroperasi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan menara baharu Infineon Technologies di Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Bangunan baharu 11 tingkat berkeluasan 14,100 meter persegi dengan kos RM250 juta itu mula dibina pada 2019, siap sepenuhnya dan digunakan pada Jun lalu.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri komited untuk terus membawa masuk pelaburan baharu ke negeri ini selepas Melaka diiktiraf sebagai negeri di tangga kelima menerima pelaburan tertinggi di Malaysia.

Menurutnya, setakat ini beberapa kawasan telah dikenal pasti bagi memperkasakan pelaburan di Melaka khususnya dalam bidang perindustrian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2353
Kongsi :
Previous post SMK Tun Syed Zahiruddin lahir bakat baharu pemain futsal
Next post PM Ismail Sabri tiba di Turkiye untuk lawatan rasmi empat hari
Ubah saiz-+=