Kakitangan SAMB dapat bonus sebulan setengah gaji – KM

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkan bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sempena sambutan Jubli Emas ke 50 tahun kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi SAMB berkata, inisaitif yang akan disalurkan itu adalah sebagai tanda penghargaan buat seluruh kakitangan syarikat operator air tunggal di negeri ini yang sentiasa memastikan rakyat Melaka mendapat bekalan air pada setiap masa.

“Kerajaan Negeri dan seluruh masyarakat Negeri Melaka sekali lagi merakamkan ucapan berterima kasih atas perkhidmatan yang anda semua berikan, begitu juga kepada keluarga warga kerja SAMB pada hari ini, kerana dapat meminjamkan masa bersama bapa, abang, ibu, kakak anda semua untuk digunakan bagi memenuhi permintaan pengguna negeri ini.

“Memandangkan Prestasi Kewangan SAMB sangat memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan yang positif daripada tahun-tahun sebelumnya, saya dengan ini mengumumkan pemberian imbuhan tahunan (bonus) sebanyak Sebulan Setengah Gaji bagi menghargai jasa dan pengorbanan warga kerja SAMB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keluarga SAMB sempena Jubli Emas 50 Tahun yang diadakan di Stadium Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Rahmad Mariman; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Sulaiman menaruh harapan agar SAMB dapat memastikan stigma ‘Water Stress State’ di negeri ini dapat dikeluarkan menerusi perkhidmatan yang memenuhi kehendak pengguna.

“Sebagai “Water Stress State”, kekurangan bekalan air mentah merupakan salah satu cabaran besar bagi Melaka di mana pembangunan yang pesat telah menyebabkan permintaan air bersih semakin meningkat dari hari ke hari.

“Oleh yang demikian, dengan perancangan rapi SAMB dilihat sentiasa selari dengan perancangan Kerajaan Negeri dalam merangka projek-projek sumber air mentah, pembinaan loji rawatan air baharu selain projek menaik taraf aset bekalan air.

“Saya berharap agar SAMB dapat keluarkan stigma Melaka sebagai “Water Stress State” untuk memastikan kestabilan bekalan air dengan perancangan yang dibuat oleh SAMB melalui Pelan Rancangan Perniagaan yang ke 5 (BPOP5) bagi tahun 2021 hingga 2024 yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang bertemakan “Toward Smart Water Management” serta Pelan Jangka Panjang Blueprint Bekalan Air Negeri Melaka 30 tahun sehingga tahun 2050,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2485
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama tubuh Majlis TVET, martabat pendidikan kemahiran
Next post Hargai jasa pegawai perubatan, pakar bius
Ubah saiz-+=