Melaka wajibkan kuarantin 14 hari buat pengembara tiba dari Sabah

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 13 Okt. – Melaka mewajibkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) atau kuarantin kendiri kepada semua individu baru tiba dari Sabah sebelum 11 Oktober 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Khas COVID-19 Peringkat Negeri Melaka Bil.13/2020 bertarikh 12 Oktober 2020.

Menurutnya, perintah kuarantin itu tetap diwajibkan meskipun ujian saringan awal individu tiba dari Sabah disahkan negatif COVID-19.

“Jika terdapat kes positif COVID-19 (melibatkan golongan ini) pesakit akan terus diasingkan dan dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan segera.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan mengesan dan menghubungi kontak rapat untuk pengambilan ujian saringan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan kontak rapat bagi individu yang positif COVID-19 merangkumi individu yang berhubung secara langsung, individu tinggal serumah, menaiki kenderaan bersama atau bekerja bersama pesakit.

Justeru, beliau meminta masyarakat agar tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes-kes positif COVID-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa.

“Orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan sekiranya berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

“Pihak kerajaan negeri khususnya amat komited dalam memperkukuhkan sistem kesihatan dan memastikan wabak COVID-19 ini dapat dikawal bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

“Saya juga ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), saranan serta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Beliau turut memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai kes COVID-19 di negeri ini.

Views:

556
Kongsi :
Previous post Cari rezeki dengan satu tangan
Next post Belanjawan 2021 medium perkasa koperasi dalam kitaran ekonomi
Ubah saiz-+=